Saturday 2 March 2013

Datuk Seri Najb Tun Razak beri kata dua kepada penceroboh






Petaling Jaya, 2 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu supaya menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan diambil pihak berkuasa Malaysia.



Perdana Menteri berkata masa untuk mempertimbangkan apa juga permintaan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari Filipina sudah berakhir.

Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini, kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius, katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang dekat sini hari ini.

"Saya telah menelefon Presiden Filipina Benigno Aquino Jr II berhubung pendirian kerajaan Malaysia itu malam tadi, dan beritahu padanya bahawa setelah berlakunya kejadian tembak menembak pagi semalam, kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.

"Dan mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya.

Najib berkata tindakan mereka menceroboh ke negara ini dengan bersenjata, dan diikuti dengan pembunuhan dua anggota keselamatan negara serta mencederakan tiga lagi anggota polis Komando VAT 69 bererti mereka telah melakukan jenayah yang cukup berat.

Untuk itu, kerajaan tidak akan membuka pintu rundingan lagi ataupun mempertimbang permintaan mereka, tegasnya. - BERNAMA

Masa bahagian kuching