Thursday 3 January 2013

Temenggong Datuk Kanang anak Langkau meninggal dunia awal pagi tadi.





KUCHING – Pahlawan Negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, meninggal dunia di Hospital Umum, di sini, dipercayai akibat serangan jantung, pagi tadi.
Kanang, 68, adalah anak Sarawak yang menjadi kebanggaan negara kerana keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari 1962 hingga 1963.
Pada tahun 1980, Kanang bersama lebih 30 anggota Platun Gempur Batalion Kelapan, Rejimen
Renjer Diraja diserang pengganas komunis di Perak.
Sikap terpuji dan tanggungjawabnya melindungi serta menyelamatkan anggota bawahannya menyebabkan beliau nyaris terbunuh.


"Ketika berhempas pulas menyelamat nyawa orang lain sedangkan nyawa sendiri tidak penting lagi, Kanang akhirnya terkulai akibat terkena tiga das tembakan daripada musuh.
Sebutir peluru dari arah belakang singgah ke jantungnya sebelum menembusi dadanya. Beberapa saat kemudian, dua lagi tembakan dari depan dengan setiap sebutir peluru mengenai saluran kencing dan merosakkan buah pinggang kirinya.
Kanang yang berlumuran darah dan tidak bermaya waktu itu, sementara menanti bantuan tiba, cekal menggagahkan dirinya memapah seorang anggota bawahannya dari menjadi mangsa tembakan menggila komunis.
“Akibat tembakan itu saya terpaksa dirawat selama setahun,” katanya dalam satu temubual tidak lama dulu.
Parut tembakan peluru di belakang, dada, di sebelah kiri dan kanan perutnya masih jelas kelihatan biarpun peristiwa hitam sudah lebih 20 tahun berlalu.
Hakikatnya, keberanian Kanang mengetuai platun menjejak, menghapuskan musuh memberinya ganjaran apabila menerima dua pingat atas keberanian dan keperkasaannya dalam ketenteraan.
Anugerah tertinggi Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) diterimanya hasil pertempuran dengan komunis di Perak, Februari 1980.
Setahun sebelumnya beliau menerima pengurniaan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) atas kehebatan dan keberaniannya mengetuai kumpulan tinjauan khas mengekori dan menjejak musuh di Hutan Simpan Korbu, Sungai Siput, Perak.
Dalam operasi itu, Kanang berjaya menjejaki musuh dan membunuh lima pengganas komunis."
Tahun lalu, Kanang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak ‘Panglima Gemilang Bintang Kenyalang’ yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
Kanang berkata, penganugerahan itu merupakan satu penghormatan kepada seorang pegawai rendah tentera sepertinya.
“Ia bukannya satu penganugerahan untuk diri sendiri sebaliknya untuk seluruh pegawai rendah seperti saya yang sanggup berjuang dan berkorban untuk negara,” tegasnya.

Sumber : mynewshub.com


Masa bahagian kuching